Thursday, October 29, 2009

Kasut Sekolah - Putih atau Hitam

Semasa saya masih di alam persekolahan darjah satu (1975), masih ingat ingat lupa lagi kepada sahabat-sahabat yang kurang bernasib baik memakai kasut getah berwarna putih. Bagi mereka yang berkemampuan memakai kasut kanvas berjenama Bata. Yang kurang mampu memakai kasut Bantai je :). Saya pun tidak mengerti mengapa kami murid sekolah terpaksa memakai kasut berwarna putih sedangkan warna itu mudah nampak kotor terutama di musim tengkujuh. Pada musim hujan, kasut jika di jemur sekali pun bukan senang hendak kering. Terpaksalah kami memakai kasut basah ke sekolah. Bukan sahaja tidak selesa malah boleh menjejaskan kesihatan kaki. Bagi mereka yang tidak bernasib baik, nama akan direkodkan oleh pengawas. Kadang-kadang boleh menyebabkan pergaduhan. Maklumlah, darah masih dara cepat naik suhu.

Teknologi semakin canggih dan fesyen pakaian berubah mengikut masa. Negara-negara beriklim seperti di Eropah, mereka menyesuaikan pakaian mengikut musim. Rekebentuk kenderaan juga berubah dari era 20an ke era mesra alam sekitar. Di awal 70an, kereta-kereta di Malaysia kebanyakannya bersaiz lebar, besar dan menggunakan kadar bahanapi yang tinggi. Dengan terciptanya Toyota Prius dan Nissan Leaf (Tokyo Motor Show ke 41), manusia mencipta kenderaan yang bukan sahaja mesra alam sekitar tetapi lebih murah dari aspek penjimatan bahanapi.

Kerajaan dan syarikat swasta seperti Tenaga Nasional dan SYABAS melaungkan slogan berjimat cermat. Islam sememangnya mengajar umatnya sentiasa bersederhana. Kebanyakan kenderaan-kenderaan milik kerajaan berwarna gelap terutamanya pegawai tentera yang berwarna hitam. Walaupun dari aspek keselamatan saya tidak bersetuju dengan warna tersebut kerana boleh mengundang kecelakaan di waktu malam tetapi mengapa hitam menjadi pilihan?

Berbalik kita kepada kasut sekolah kanvas yang menjadi pilihan pihak Kementerian Pendidikan. Mengapa warna putih menjadi pilihan mereka sedangkan ianya cepat kotor bagi iklim hutan hujan khatulistiwa. Mengapa kita masih mengikut kehendak bekas penjajah British? Kasut sekolah berwarna putih mungkin atau memang sesuai untuk negara mereka tetapi tidak pada pendapat saya di negara yang sentiasa menerima kadar hujan yang tinggi seperti Malaysia. Jika kadar hujan yang rendah sekali pun, warna putih senang mengundang kekotoran dan menyebabkan pelajar kita nampak selekeh.

Jika pihak atasan mengatakan pilihan warna adalah dari aspek penampilan mengapa kebanyakan golongan korporate memakai kasut kulit berwarna hitam? Jika dari aspek kebersihan dan keputihan, yang kita nampak putih sebenarnya warna putih "Kiwi" dan bukannya warna putih asal kasut. Itu adalah penipuan dan silap mata David Copperfield semata-mata.

Bayangkan jika pelajar dibenarkan memakai kasut berwarna hitam betapa banyaknya wang dapat dijimatkan terutamanya golongan kurang berada kerana tidak perlu lagi membeli Pemutih Kasut. Penjimatan tersebut dapat dibelanjakan untuk benda yang boleh memberi manafaat kepada pelajar seperti buku dan peralatan penulisan.
Disebabkan warna hitam susah nampak kotor maka ianya dapat digunakan dengan lebih kerap dalam seminggu tanpa cucian. Ini bukan sahaja menjimatkan masa malah mengurangkan kesan alam sekitar di atas pengurangan bahan cuci yang kebanyakannya tidak mesra alam dan penjimatan yang penting iaitu air. Saya masih belum membuat kaji selidik tentang bahan yang digunakan sebagai pemutih kasut samada mersa alam ataupun kesan kesihatan kepada pengguna. Jika ada di antara pembaca sila kemukakan komen anda di bawah. Pelajar sekolah Malaysia bukan beratus orang tetapi beratus ribu jumlahnya. Bayangkan penjimatan secara total bagi keseluruhan rakyat kita.

Panasonic mencipta "Invertor" untuk penghawa dingin yang dapat mengurang separuh penggunaan elektrik. BMW mencipta kenderaan berenjin diesel yang dapat menggunakan kurang bahanapi. Phillips mencipta mentol "Energy Saving". Hotel-hotel memasang peralatan yang dapat menjimat penggunaan elektrik semasa tetamu tiada di bilik. Mereka ini membelanjakan jutaan ringgit dalam penyelidikan sebelum penemuan yang dapat memanafaatkan manusia sejagat.

Pihak Kementerian tidak memerlukan perbelanjaan yang sebegitu besar bagi mengarahkan pemakaian kasut berwarna hitam. Bagi mengurangkan kesan ekonomi kepada pihak pengeluar, arahan boleh dilakukan secara berperingkat ataupun seraca sukarela bagi tahun pertama.

Jika dahulu pemakaian kasut getah dikaitkan dengan golongan kurang berada. Namun kasut getah berjenama Crocs hanya mampu dimiliki oleh golongan sederhana dan mewah kerana harga pasarannya yang tinggi. Walaupun begitu terdapat banyak kasut dan selipar di pasaran yang menggunakan material yang hampir sama tetapi jauh lebih murah seperti kasut Asadi buatan tempatan. Dari aspek kualiti dan keselesaan ianya lebih mampu milik dari kasut kanvas kerana harganya hampir separuh.

Jika pelajar dibenarkan menggunakan kasut getah berwarna hitam seperti keluaran Asadi banyak penjimatan dapat dinikmati oleh ibubapa. Harganya lebih murah, tahan lebih lama, selesa dan lebih selamat dengan kebanyakan permukaan jalan di negara kita yang kerap licin selepas hujan. Dengan jumlah pelajar dan kuantiti jualan yang tinggi, kos pengeluaran dapat dikurangkan seterusnya mengurangakan harga jualan. Siapa yang untung?

Fikirkan lah wahai pembaca sekelian. Jika anda merasa artikel ini dapat mengurangkan beban ekonomi ibubapa kepada pelajar-pelajar sekolah terutamanya golongan yang mempunyai "Net Disposable Income" yang rendah maka anda bolehlah forward kan artikel ini kepada kawan-kawan anda. Secara tidak langsung dapat membuka mata pihak atasan supaya berubah demi kebaikan semua. Internet boleh melakukannya tanpa politik yang kotor.

1 comment:

  1. Why gambling in NJ is a problem for casinos - DRMCD
    In the past, 광양 출장샵 it had been legal for gambling 양산 출장마사지 in In 2006, the 영주 출장안마 state's gambling regulators approved 전라북도 출장샵 a new 안성 출장마사지 casino license for the New Jersey

    ReplyDelete