Monday, October 19, 2009

Papan Tanda Mengelirukan

Tanggal 7 Julai 2009, Melaka Bandaraya Bersejarah akan/telah menyabut Ulangtahun pertama sebagai Bandar Warisan Dunia dan saya amat bangga sebagai seorang warga Melaka yang berniaga di bandar pelancongan yang terkenal di merata dunia. Dalam keghairahan ini terdapat beberapa perkara yang sering mendapat rungutan para pelancong-pelancong terutamanya yang berkenderaan sendiri ke Banda Hilir. Seperti bandar-bandar lain di Malaysia, papan tanda jalan yang tidak disediakan dengan tepat oleh pihak bertanggungjawap menyebabkan ramai yang sesat ke Pusat Bandar iaitu Jalan Hang Tuah ataupun "menawaf" Banda Hilir berkali-kali.

Saya cadangkan pihak yang bertanggungjawap memastikan tanda arah Banda Hilir diletakkan di setiap persimpangan samada kecil atau besar sepanjang jalan dari pintu-pintu masuk utama ke Melaka iaitu dari arah Plaza Tol Ayer Keroh, Lebuhraya AMJ dari arah Alor Gajah dan Muar dengan tanda A'Famosa kerana kota ini lah yang dipromosikan oleh Kementerian Pelancongan. Jika kita memandu di negara-negara eropah adalah mustahil kita tidak menjumpai pusat-pusat pelancongan kerana ianya diletak di setiap persimpangan sehinggalah ke destinasi yang di tuju.

Saya amat hairan kerana Kerajaan samada Pusat atau Negeri semestinya telah berbelanja jutaan ringgit menghantar pegawai-pegawai berkenaan melawat negara-negara maju. Tidakkan mereka ini mengambil contoh yang telah dilaksanakan oleh negara tersebut. Mungkin juga mereka ini telah dipandu oleh pihak tuan rumah melawat tempat-tempak menarik tanpa memandu kenderaan sendiri. Maka mereka dari pihak kerajaan Malaysia hanya memandang remeh terhadap papan tanda jalan.

Satu pihak mempromosikan "Cuti-Cuti Malaysia" dengan perbelanjaan yang tinggi. Satu pihak lagi tidak terfikir akan runggutan para pelancong berkenderaan sendiri atau pemandu-pemandu bas pelancong yang bukan kerap kesatu-satu destinasi pelancongan. Saya cadangkan Kerajaan Melaka menjadi satu-satunya Negeri yang akan menjadi Negeri yang amat mesra pelancong, baik dari segi kemudahan awam, tempat riadah, tempat penginapan, tempat menjamu selera bahkan papan tanda arah yang terbaik.

Papan-papan tanda tersebut bukan sahaja untuk Banda Hilir tetapi ke semua tempat-tempat bersejarah yang kebanyakannya diletak seperti melepaskan batuk di tangga. Di satu simpang diletakkan papan tanda arah destinasi pelancongan dan ianya lesap dipertengahan jalan entah kemana. Dengan teknologi digital hanya menggunakan Google Map yang percuma kita dapat mengira jarak kenderaan kita ke tempat yang dituju
dengan tepat. tapi bukan semua yang mendapat kemudahan ini semasa berkenderaan. Saya cadangkan juga semua papantanda ini diletakkan jarak supaya pelancong mendapat maklumat tepat kerana mereka mungkin datang dari jauh. Ini adalah sebahagian dari cara-cara membuat mereka yang penat berkenderaan merasa dihargai oleh pihak yang mempromosikan supaya menbuat lawatan ke sini.

Kita sebagai pihak berkuasa tempatan tidak boleh menganggap semua pelancong ke Melaka menghafal semua jalan-jalan di Melaka. Ada juga pelancong yang tidak tahu tempat mana yang perlu dilawati dahulu. Contohnya jika pelancong datang dari Plaza Tol Ayer Keroh, disetiap simpang mesti diletakkan papan-papan tanda tempat-tempat pelancongan yang terdekat termasuklah tempat-tempat penginapan yang diiktiraf, medan selera dan pusat-pusat membelibelah dan juga laluan alternatif supaya kenderaan-kenderaan dapat dilencongkan untuk mengurangkan kesesakan di waktu puncak terutamanya semasa cuti sekolah dan cuti umum.

Walaupun hotel-hotel dimiliki oleh pihak swasta adalah tidak salah jika pihak kerajaan negeri menyediakan kemudahan papan tanda ke arah tempat penginapan secara teratur kerana tanpa mereka akan datangkah pelancong ke Melaka? Terdapat banyak tempat-tempat menjamu selera selain dari medan ikan bakar yang terkenal dikalangan pelancong seperti Nasi Briani Hujung Pasir, Capati Tehel, Restoran D'Nangka, Tomyam Klasik dan lain-lain. Bukan setakat itu sahaja, Kerajaan Negeri boleh memastikan menu-menu yang disediakan oleh pemilik-pemilik restoran memenuhi citara para pelancong. Contohnya jika pemilik restoran menjual tomyam, biarlah rasanya seperti tomyam dan bukan seperti sup. Jika Kerajaan dapat menyediakan kemudahan untuk belajar memandu kapalterbang di Batu Berendam adakah kerajaan tidak mampu untuk mengadakan kemudahan untuk belajar memasak bagi tukang-tukang masak di Negeri Melaka kerana makanan adalah sebahagian dari pakej percutian. Kerajaan mewajibkan semua kenderaan membayar parking ditempat tertentu di Bandar Melaka, jika engkar terpaksa membayar denda walaupun pada cuti umum. Syarat yang sama boleh diletakkan untuk pemilik-pemilik gerai demi memajukan perniagaan mereka seperti apa yang telah dinikmati oleh Hospital Makkota dan Pantai sebagai Pusat Pelancongan Kesihantan. Kerajaan Negeri lain mugkin menganggap ini adalah tanggungjawap pihak swasta tetapi dengan hanya melabur ke arah ini, siapakah yang akan untung akhirnya?

Jadilah sebuah Kerajaan Negeri yang proaktif dan bukan seperti paku dengan tukul. Contohnya terdapat satu gerai tepi jalan di Klebang menjual Coconut Shake yang sentiasa penuh dengan pelanggan. Terdapat satu Restoran Nasi Briani di Jalan Pokok Mangga dapat memenuhi citarasa pelancong-pelancong mewah. Kerajaan boleh menyediakan papan tanda arah ditempat yang sesuai seperti dari arah Lebuhraya AMJ
ataupun dari Sg Udang.

Papan-papan tanda tersebut mestilah senang dibaca dan tidak dicampuradukkan dengan tanda arah ke syarikat-syarikat swasta kecuali Pusat Membeli Belah yang dianggap sesuai untuk pelancong-pelancong. Jangan lah kerana mementingkan keuntungan semata-mata, semua papan tanda dipenuhi untuk tujuan pengiklanan swasta sehingga seperti tanda arah kenduri perkahwinan. Saya pasti pihak bertanggungjawap mempunyai akses kepada peta-peta digital seperti Google Map untuk memastikan tanda arah jalan diletakkan dan ditandakan dengan betul dan jelas.
Adalah amat mustahil dan malu jika mereka tidak mendapat kemudahan seperti saya sedangkan Melaka mengarah ke Era Digital sepenuhnya.

Kesesakkan jalan raya amatlah teruk diwaktu puncak dan memang tidak dapat dielakkan tambahan pula dengan kekurangan tempat letak kereta dan tanda arah yang salah yang menyewbabkan kenderaan sama berpusing-pusing mencari arah. Cadangan demi cadangan dan hanya tinggal kenangan atau pun memerlukan jutaan ringgit untuk menyelesaikan masalah kesesakan tersebut. Saya cadangkan sepaya kerajaan negeri menyediakan kemudahan shuttle bas dikawasan Melaka Raya kerana dimusim cuti atau hujung minggu terdapat banyak lot-lot parking yang kosong yang boleh dimanafaatkan oleh pelancong dengan tahap keselamatan yang dijamin olek pihak berkuasa.

Baru-baru ini Kerajaan Tempatan telah mengubah aliran trafik dengan arahan Ketua Menteri selama 3 bulan dan ternyata gagal. Saya percaya kos yang tinggi telah ditanggung oleh Kerajaan Tempatan. Tidakkan pernah pegawai-pegawai Kerajaan Melaka mendengar "Contra Flow" oleh pihak DBKL dijalan-jalan tertentu diwaktu puncak. Saya cadangkan diwaktu-waktu tertentu terutamanya selepas jam 8.30 mlm ataupun selepas jam 9.30 mlm sesetengah jalan utama di sekitar Banda Hilir disongsangkan arah untuk sebeberapa ketika.

Ada juga suara-suara sumbang dan ternyata benar mengatakan jika andamemandu ke arah Melaka dan tiba-tiba kenderaan anda melanggar lubang atau permukaan jalan yang tidak rata maka anda sebagai pelancong telah sampai ke Banda Melaka ataupun kawasan sekitarnya. Saya sebagai penduduk dan memandu kenderaan Citroen yang yang terkenal dengan suspensi yang lemah gemelai dapat menyetujui kebenaran tersebut. Bandar Indah Jalan Kampung BIJK. Adakah kita akan bangga menjadi Negeri Maju sedangkan ramai pelancong Singapura datang menghabiskan wang mereka di sini. Tidak pernahkah seorang pegawai Kerajaan Melaka melawat Singapura? Saya yang telah lama menghabiskan masa bertahun-tahun di negara Eropah mencadangkan Kerajaan tidak perlu menghantar pegawai ke sana kerana Negara Jiran Singapura lebih hebat dari Negara Maju di Eropah dari segi permukaan jalan dan mungkin juga tanda arah jalan.

Jika ini dapat dilaksakankan saya pasti Pelancong akan manabik Kerajaan Melaka bukan setakat Banda Bersejarah tapi sebuah bandar yang boleh mengembalikan mereka untuk terus melancong ke sini. Cadangan-cadangan ini bukan sahaja untuk Negeri Melaka tetapi kesemua Negeri-Negeri di dalam Malaysia untuk diambil sebagai iktibar.

.

No comments:

Post a Comment