Thursday, October 29, 2009

Tali Leher atau Tali Lembu?

Pertama kali saya memakai tie atau tali leher atau bahasa sebenarnya "necktie" ialah semasa saya dengan tidak sengaja di lantik sebagai pengawas Sek Men Sains Raub (kini dikenali sebagai SM Sains Tengku Abdullah). Ketidaksengajaan itu berlaku kerana kawan-kawan merasa hairan mengapa saya di lantik sedangkan tahap displin saya hanyalah setaraf dengan mereka hehehehehe.

Memakai tali leher ini bukannya mudah bagi orang seperti saya. Kejap kejap terlampau pendek, kejap kejap panjang sangat. Hendak pastikan ianya sedang elok itu memerlukan latihan. Bila pakai tie ni, nampak segak sikit dan terasa teruja bila mendapat pujian pelajar wanita tercantik di sekolah. Walaupun panas terik, disebabkan gaya diutamakan terpaksalah menahan peluh yang membanjiri liang roma.

Pamakaian tie ini adalah mengikut tradisi penjajah. Kalau ditakdirkan penjajah British memakai tali kerbau kita mungkin akan terus menerus memakai tali kerbau tanpa banyak soal. Samada di leher atau di hidung saya kurang pasti. Yang penting bergaya seperti bekas penjajah walaupun mereka tidak sehebat dulu.

Pada tahun 2002 saya ke Silicon Valley di San Francisco atas urusan perniagaan kecil-kecilan saya. Bermodalkan simpanan yang tidak seberapa banyak dengan penuh segak bertali leher dan berkot menunggu Mat Salleh bernama Matt Ever. Kami kerap berhubung melalui email. Yang membuatkan saya terkejut beruk (maaf, terkasar bahasa sikit) ialah beliau hanya berseluar denim potongan jean dan memakai t-shirt. Syarikat yang diwakili beliau tersenarai di Nasdaq. Semasa di bilik mesyuarat saya terus bertanya kepada beliau adakah saya terlampau formal (dalam bahasa orang putih ler...). Sambil ketawa kecil beliau mengatakan bahawa di Silicon Valley masyarakatnya bersehaja yang amat bertentangan dengan kakitangan syarikat-syarikat kongolomerat yang lain termasuklah IBM.

Jika kita perhatikan Bill Gates setiap kali berdiri memberi ucapan di hadapan pakar-pakar teknologi dan ahli perniagaan dunia kerap kali memakai sweater atau pun vest. Imej sedemikian langsung tidak menjejaskan objektif penyampaian beliau. Ini termasuklah Steve Job dari Apple, Richard Branson dari Kumpulan Syarikat Virgin dan lain-lain yang terkaya di dunia. Adakah mereka sentiasa memakai tie?

Tetapi bagi ahli-ahli perbankan, pakar-pakar ekonomi, CEO-CEO syarikat tersenarai di Forbes pemakaian tie adalah menjadi satu kewajiban. Kita banyak mendengar berita-berita dunia bahawa mereka inilah yang telah banyak membinasakan syarikat dunia seperti Enron, Arthur Anderson, Worldcom, Bernard Madoff, Barings Bank (Nick Leeson) hanya sebahagian dari skandal terbesar dunia. Mereka ini semuanya bertali leher!

Bertentangan pula dengan mesyuarat APEC yang mengenakan pakaian tradisi negara tuan rumah. Contohnya mesyuarat APEC ke 6 di Bogor Indonesia ketua-ketua negara memakai pakaian batik seperti juga APEC ke 10 di Kuala Lumpur. Di sini kita dapat melihat, walaupun tanpa tie mesyuarat tetap berjalan seperti biasa.

Jadi di sini ingin saya persoalkan pihak Kementerian Pendidikan yang mewajibkan pemakaian tali leher kepada sesetengah pelajar sekolah berdasar kepada hukum atau wahyu apa atau sekadar menuruti tradisi penjajah? Tentu Wan Kamaruddin akan mengatakan "Apa kejadahnya memakai tie di iklim panas terik seperti negara kita Malaysia?". Kita berani menukar nama-nama peninggalan penjajah kepada nama-nama tempatan seperti Jalan Gurney kepada Jalan Semarak, Teluk Anson kepada Teluk Intan. Mengapa kita masih meniru pemakaian penjajah yang lansung tidak sesuai dengan iklim tempatan? Adakah kesemua pelajar kita belajar di bilik darjah berhawa dingin dan berdiri di perhimpunan dengan cuaca dingin seperti di United Kingdom atau sekurang-kurangnya di Cameron Highland?

Selepas lebih 52 tahun merdeka, kesemua Menteri Pendidikan, Setiausaha, Pengarah dan mereka yang berkuasa dalam membuat keputusan tidak pernah mempersoalkan kesesuaian tie bagi negara kita beriklim panas ini. Jika slogan sambutan Hari Kebangsaan yang lepas "Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan", saya cadangkan pemakaian tie dihapuskan sama sekali di peringkat sekolah dan seterusnya di semua jabatan kerajaan. Jika perbelanjaan sambutan Hari Kemerdekaan dapat disesuaikan dengan keadaan ekonomi semasa dan bulan Ramadan, mengapa kita takut untuk menghapuskan pemakaian tie bagi menyesuaian dengan iklim tempatan?

Jika anda dapati artikel ini dapat memberi manafaat kepada sahabat, saudara dan kenalan anda, sila forwardkan artikel ini kepada yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment