Malaysia telah menjadi negara membangun setelah hampir 52 tahun merdeka. Beberapa tahun lagi kita akan menjadi negara maju seperti jiran Singapura. Walaupun tidak sepantas China dan India namun kecanggihan teknologi membolehkan kita melangkah pantas ke hadapan. Passpot dan Kad Pengenalan Elektronik menjadi salah satu bukti di mata dunia. Kepantasan pihak berkuasa mengakses data peribadi pesalah mungkin menyamai filem-filem hollywood. Walaupun tidak secanggih sistem maklumat syarikat-syarikat besar seperti DHL, Fedex atau pun Master Card namun ianya menjadi kebanggaan Kerajaan yang memerintah.
Namun disebalik kecanggihan teknologi, sistem lapuk di sesetengah Jabatan Kerajaan masih dipraktikkan sehingga saat artikel ini di tulis. Contohnya sistem pembayaran terutama kepada kontraktor-kontrator kecil. Walaupun saya bukan sebahagian dari mereka namun saya malu betapa kebelakangnya pihak yang bertanggungjawap. Saya banyak mendengar suara-suara "kemiskinan" dari kontraktor anak bilis ini perihal bayaran lewat pihak kerajaan. Suara-suara sumbang ini telah saya dengari berbelas tahun yang lalu. Padahal kemajuan teknologi maklumat telah berlaku ketika saya mula-mula mendengar suara-suara rintihan tersebut dari 9.6kbps sehinggalah sekarang melebihi 3.5Mbps. Bayangkan betapa tingginya peratusan kecekapan sistem teknologi berinternet. Jadi "apa kejadahnya mereka buat selama evolusi tersebut" seperti suara lantang Wan Kammaruddin.
Menghantar 'Invoice' yang tidak bertarikh demi mematuhi kehendak ISO. Penerimaan barangan ataupun servis tanpa 'Purchase Order'. Mengapa ini masih berlaku? Alasan seperti masih menunggu kelulusan pihak atasan dan keperluan "Segera" adalah ayat-ayat cinta zaman dahulu kala. Jika dilihat kepada syarikat-syarikat terkemuka dunia, amat mustahil akan berlaku. Adakah Kerajaan yang memerintah tidak pernah melatih pagawai-pegawai berkenaan cara pembelian atau pembayaran? Jemaah Menteri semestinya bangun dengan suara sinis mengatakan Kerajaan telah berbelanja jutaan ringgit untuk melatih mereka yang berkaitan namun Jemaah Menteri lupa untuk memantau semua Jabatan. Jika kita orang awam pergi ke pejabat-pejabat Kerajaan, piagam akan tersergam indah di dinding pejabat. Adakah itu lukisan atau bahan seni untuk pameran?
Kita tidak perlu sistem perisian yang canggih atau melantik firma audit yang ternama untuk menilai betapa belakangnya sesetengah sistem perolehan jabatan Kerajaan. Rintihan anak-anak bilis itu adalah buktinya kerana tiada angin takkan pokok bergoyang. Jangan pula suara sumbang dari pihak Kerajaan menanyakan saya "Mana bukti?". Pihak TV3 program 360 pun mungkin tergelak jika soalan itu keluar dari mulut
pegawai Kerajaan.
Kita tahu jika berlaku malapetaka seperti banjir, kebakaran, tanah runtuh, kemalangan jalanraya akan melibatan kos yang tinggi di pihak Kerajaan kerana terpaksa mengerahkan pihak polis, bomba, hospital dan lain-lain. Kelewatan pembayaran juga akan melibatkan kos yang tinggi kerana kontraktor sudah semestinya akan mengenakan caj yang kadangkala tidak masuk akal kepada kerajaan. Ketidakstabilan kewangan boleh menyumbang kepada masalah sosial seperti Pinjaman Along. Mereka akan menjadi kurang bersemangat untuk memberi perkhidmatan terbaik. Sebab itu lah jika dibandingkan produk-produk yang dibekalkan kepada pihak kerajaan kurang bermutu berbanding dengan pihak swasta. Salah siapa? Ibu mengandung atau pengundi yang memilih Kerajaan.
Saya yakin e-Perolehan dan Mampu dapat menyelesaikannya. Namun apakan Mampu memerlukan masa 100 tahun lagi untuk membolehkan anak-anak bilis berenang bebas walaupun dilautan yang bergelora. Syarikat-syarikat global yang menggajikan kurang pekerja dari Kerajaan Malaysia telah melakukannya. Mengapa tidak Kerajaan yang lebih berkemampuan dari segi kewangan mempraktikkannya sekarang. Jika Kerajaan menerangkan kepada orang yang kurang berpengetahuan dengan mengatakan Kerajaan tidak mampu, hati kecik saya tergelak besar. Contohnya, jika kita mnyerahkan PO kerajaan dan PO syarikat swasta kepada pihak bank, mana satu PO kah pihak bank yang cerdik akan membiayai pinjaman? Sudah semestinya PO dari Kerajaan kerana peratusan kegagalan pembayaran amat kecil.
Saya amat berharap pihak Kerajaan menjadikan rintihan anak-anak bilis sebagai salah satu kayu pengukur selain dari KPA Index dan bermacam-macam lagi Index canggih. Mereka lah yang boleh menjana ekonomi Malaysia ke arah negara maju dan membantu peruncit-peruncit seperti saya dan rakyat Malaysia secara am. Biarlah kita melangkah maju seiring dengan kelajuan Internet. Jika negara atau syarikat global lain boleh, mengapa kita tidak Boleh?
.
Monday, October 19, 2009
Rintihan Kontraktor Kecil Perihal Pembayaran
Labels:
bayaran,
gulung tikar,
kontraktor,
lambat,
rugi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment